Renungan Petang Rabu, 20 November 2019
Renungan Petang
Rabu, 20 November 2019
Bila Ditawarkan Dengan Sesuatu
Mereka sangat gembira waktu mendengarnya dan mereka berjanji akan memberikan uang kepadanya. Kemudian ia mencari kesempatan yang baik untuk menyerahkan Yesus. Markus 14:11
Rujukan : Markus 14:10-11
Markus menempatkan kisah pengurapan di Betania (14:3-9) bersamaan dengan kisah pengkhianatan Yudas (10-11). Ironinya, Yesus diperangkap oleh murid-Nya sendiri. Bukankah seharusnya dia, yang telah bersama-sama dengan Yesus dan melihat pekerjaan Tuhan, memiliki hubungan yang karib dan menjadi penyokong setia Yesus?
Yudas, seharusnya tahu bahawa imam-imam kepala membenci Yesus, tetapi dia mengambil kesempatan itu untuk memerangkap dengan menyerahkan gurunya (10). Tawaran Yudas disambut gembira oleh para imam kepala. Dengan janji diberikan wang, Yudas memudahkan rancangan jahat mereka untuk menangkap dan membunuh Yesus (11).
Kisah "menjual Yesus" bukan hanya pernah terjadi di masa lalu malahan pada masa kini juga begitu ramai orang percaya, yang mengaku bahawa Yesus adalah Juru Selamat tetapi mengkhianati Yesus. Ada yang "menjual Yesus" demi jodoh, demi kerjaya, pangkat dan sebagainya. Seperti Yudas yang menganggap bahawa wang jauh lebih berharga dari Yesus dan sanggup mengorbankan gurunya. Yudas-Yudas masa kini juga menghalalkan segala cara, mengorbankan iman dan orang lain untuk memperolehi keuntungan peribadi.
Pengkhianatan Yudas mengajar kita bukan hanya sekadar menjadi pengikut Yesus sahaja tetapi harus bersungguh-sungguh bertumbuh dalam pengenalan akan Yesus. Sekalipun Yudas telah mengikut dan melayani bersama Yesus, dia tidak mengenali Yesus dengan sesungguhnya. Boleh jadi harapannya berbeza dengan kehendak Yesus.
Menjadi pengikut Yesus tanpa mengenali Yesus dengan lebih dekat akan membuat kita mudah jatuh dan tergoda dengan tawaran dunia. Kecintaan Yudas terhadap wang dan harapannya yang berbeza dengan kehendak Yesus mengalahkan kecintaannya kepada gurunya dan membutakan hati nuraninya.
Waspadalah! Mengasihi Yesus lebih dari segalanya kerana Dia lebih berharga dari segalanya. Apa gunanya seorang memperolehi seluruh dunia, tetapi kehilangan nyawanya? (Mat. 16:26).
Tuhan memberkati!

Ulasan
Catat Ulasan