Renungan Petang Ahad, 22 September 2019
Renungan Petang
Ahad, 22 September 2019
Semua Adalah Saudara
Pujilah TUHAN, hai segala bangsa, megahkanlah Dia, hai segala suku bangsa! Mazmur 117:1
Rujukan: Mazmur 117
Mazmur madah pujian ini mengundang segala bangsa untuk memuji Tuhan. Tuhan layak dipuji kerana kasih setia-Nya kepada Israel.
Dalam perkembangannya, mazmur ini digunakan dalam kebaktian di Yerusalem sesudah zaman pembuangan. Yang menarik di sini adalah yang diajak memuji Tuhan bukan hanya umat Israel, tetapi juga segala bangsa tanpa memandang asal-usul bahasa, budaya, etnik dan sebagainya.
Dalam bahasa Ibrani, istilah "segala bangsa" bukan sekadar merujuk kepada jumlah bangsa tetapi lebih menekankan kepada prinsip kebersamaan. Di sini kita melihat unsur 'universal' dalam keyakinan Pemazmur. Kerana Allah adalah Tuhan bagi semua ciptaan-Nya. Dia menciptakan segala bangsa. Oleh itu, seluruh umat manusia adalah milik-Nya. Dialah Raja semesta alam.
Dalam kebersamaan itu setiap orang adalah ciptaan dan bersaudara dalam satu Allah Pencipta. Semua orang dipanggil untuk memuji dan memuliakan Tuhan. Dia memberikan hujan dan panas kepada semua, baik kepada orang baik mahupun jahat.
Segala bangsa diajak untuk bersama-sama memuji kasih Allah yang dirasakan oleh umat manusia. Sebagai Sang Pencipta, Dia patut dipuji kerana kesetiaan-Nya. Dia sentiasa menawarkan kasih dan pertolongan kepada umat-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Bapa dan Ibu bagi semua ciptaan-Nya.
Allah berkeinginan untuk merangkul ciptaan-Nya yang berdosa agar mereka dapat kembali kepada hakikat dirinya sebagai gambar dan rupa-Nya. Dia menghendaki setiap orang dapat hidup dalam harkat dan martabat sebagai peribadi yang berhubung dengan karakter Sang Khalik. Sebagai ciptaan Allah, sepatutnya kita saling berpelukan sebagai saudara tanpa membezakan suku, agama, bangsa dan golongan.
Bersyukurlah bahawa kita adalah saudara dalam gambar dan rupa Allah. Meskipun kita dilahirkan dengan latar belakang yang beragam, namun semuanya itu bukan untuk membezakan. Semestinya hal itu membuat kita menjadi satu dan saling mengasihi. Tuhan memberkati!

Ulasan
Catat Ulasan