Renungan Petang Ahad, 06 Januari 2019
Renungan Petang
Ahad, 06 Januari 2019
Upah Yang Besar Bagi Orang Percaya
Sebab itu janganlah kamu melepaskan kepercayaanmu, karena besar upah yang menantinya. Ibrani 10:35
Rujuk : Markus 10:28-34
Ramai orang berharap dengan mengikut Yesus maka kehidupannya pasti diberkati, berkelimpahan, dan sebagainya. Kenyataannya tidak selalu demikian.
Petrus menunjukkan pengorbanan yang mereka lakukan untuk mengikut Yesus (28). Mereka kehilangan tempat tinggal, sumber kehidupan, keselesaan hidup dan masa bersama dengan keluarga. Tentunya Petrus berharap mendapatkan upah dari Tuhan di dunia. Lalu Yesus menjawab bahawa setiap orang yang harus kehilangan segala sesuatu di dunia ini kerana Kristus akan menerima upah seratus kali lipat. Maksudnya, upah itu tidak dapat dihitung dengan harta, iaitu kehidupan yang kekal (29-30).
Yesus juga memberi peringatan bahaya kesombongan bagi orang yang mula-mula menjadi percaya. Jika tidak berhati-hati, mereka akan mundur dari imannya. Sedangkan orang yang terakhir menjadi percaya lebih teguh imannya (31). Sebab, cabaran iman akan terus mengikuti jalan hidup orang-orang percaya.
Tuhan sendiri menjalani penderitaan, seksaan, bahkan dihina-hina sehingga mati di kayu salib. Hal ini ditegaskan oleh Yesus dalam perjalanan menuju ke Yerusalem. Murid-murid Yesus kelihatannya masih belum bersedia secara mental. Mereka kelihatan cemas dan takut. Keadaan ini tidak membantu Yesus yang sedang mempersiapkan diri untuk menjalani penderitaan-Nya (32-34).
Yesus memaklumkan kepada murid-murid akan akibat tindakan mengikuti-Nya. Kehidupan mereka akan menjadi semakin sukar. Banyak cabaran dan penderitaan yang bakal dilalui. Walaupun begitu, Tuhan memberi penghiburan dan jaminan bahawa ada upah kehidupan kekal yang menanti setiap orang percaya. Yesus sendiri memberikan contoh dan teladan bagi kita. Orang percaya seharusnya tidak menghitung-hitung upah dari Tuhan.
Sabarlah menanggung segala penderitaan dan kesusahan dalam mengikut Yesus. Dia sudah menyediakan upah terbesar bagi mereka yang berjaya mempertahankan imannya sampai ke akhir nanti. Tuhan memberkati!

Ulasan
Catat Ulasan