Renungan Pagi Isnin, 17 Disember 2018
Renungan Pagi
Isnin, 17 Disember 2018
Iman yang Kurang Sempurna
"Kamu lihat, bahwa iman bekerjasama dengan perbuatan-perbuatan dan oleh perbuatan-perbuatan itu iman menjadi sempurna." Yakobus 2:22
Rujuk : Markus 5:25-34
Ketika seseorang yang baru mempelajari tentang Kristus, biasanya masih ada pengaruh dari keyakinan lamanya yang kelihatan dalam tindakan.
Seorang wanita sudah menderita pendarahan selama 12 tahun. Kemungkinan besar dia seorang non Yahudi dan penduduk asli Kaisarea Filipi. Dia telah mencuba segala usaha untuk menyembuhkan dirinya, namun mengalami kegagalan (Luk. 8:43). Keadaannya semakin kritikal. Ketika mendengar tentang Yesus, dia yakin bahawa Yesus dapat menyembuhkannya.
Kelihatannya sukar bagi dia untuk bertemu secara langsung dengan Yesus di antara kerumunan ramai orang. Berbekalkan imannya yang belum sempurna, dia percaya akan sembuh dengan hanya menjamah jubah Yesus (25-28). Belum pernah ada petunjuk bahawa jubah Yesus dapat menyembuhkan. Tetapi perempuan ini sangat yakin bahawa kuasa Tuhan dapat mengalir dari mana pun asal percaya. Ada kemungkinan bahawa ideanya ini berasal dari kepercayaan lamanya tentang adanya kuasa luar biasa di dalam diri dan barang milik seseorang. Walaupun pemahamannya masih keliru, tetapi Tuhan menyembuhkannya (29).
Ketika perempuan itu menjamah jubah-Nya, Yesus menyedari ada kuasa yang keluar dari-Nya. Sebab itu Yesus berhenti sejenak dan bertanya kepada orang ramai, siapakah yang menyentuh jubah-Nya. Yesus inginkan perempuan itu menunjukkan dirinya dan mengakui imannya (30-32). Perempuan ini tampil dan tersungkur di hadapan- Nya. Mungkin ada perasaan bersalah kerana dengan diam-diam memegang jubah Yesus. Akan tetapi Yesus tidak marah. Malahan, Yesus meneguhkan imannya dan menjamin kesembuhannya kerana tindakan iman yang dilakukan (33-34).
Ketika menghadapi permasalahan yang sukar, Tuhan tidak meminta kita mencuba cara dahulu atau kepercayaan yang sudah ditinggalkan, dan setelah berputus asa baru berpaling kepada-Nya. Dia menghendaki kita datang dan berharap terus kepada pertolongan-Nya. Iman kita yang tidak sempurna akan dijadikan-Nya sempurna. Dengan begitu, kita dapat melihat kuasa-Nya dalam kehidupan kita. Tuhan memberkati!

Ulasan
Catat Ulasan