Renungan Pagi Selasa, 18 Disember 2018



Renungan Pagi
Selasa, 18 Disember 2018

Menolak Yesus

"Bukankah Ia ini tukang kayu, anak Maria, saudara Yakobus, Yoses, Yudas dan Simon? Dan bukankah saudara-saudara-Nya yang perempuan ada bersama kita?" Lalu mereka kecewa dan menolak Dia." Markus 6:3

Rujuk : Markus 6:1-5

Yesus datang ke tempat Dia dibesarkan, iaitu di Nazaret. Kemana pun Dia pergi, para murid-Nya selalu ada bersama- Nya (1). Yang menarik adalah setiap datang ke suatu tempat, Yesus akan berbicara di khalayak orang ramai. Tetapi agak berbeza dengan Nazaret. Di sini, Yesus tidak mengajar di khalayak umum, melainkan hanya mengajar di rumah sembayang pada hari Sabat.

Ketika Yesus berbicara, sebahagian besar jemaat takjub mendengar ajaran-Nya. Mereka kehairanan kerana Yesus tidak berpendidikan tinggi. Lagi pula Yesus hanyalah seorang tukang kayu yang biasa sahaja. Lalu mereka berkata, "Bagaimana Ia dapat berbicara penuh hikmat dan melakukan mukjizat?" (2). Di sini kelihatan, bagaimana penilaian masyarakat Nazaret terhadap Yesus.

Pemikiran orang-orang itu telah merendahkan martabat Yesus dan keluarga-Nya dengan sinis. Hal itu dilihat melalui cara mereka menyebut satu persatu kaum keluarga terdekat Yesus. Seolah-olah mereka ingin menyatakan "kami tahu keluarganya seperti apa". Mereka juga menolak untuk percaya kepada-Nya (3). Yesus menegaskan bahawa sukar rasanya seorang nabi yang benar diterima di tempat asalnya, bahkan dalam keluarganya sendiri (4). Walaupun tidak banyak melakukan mukjizat, tetapi Yesus masih menunjukkan kasih- Nya dengan menyembuhkan beberapa orang sakit di sana (5).

Penyebab utama penolakan terhadap Yesus mungkin kerana Dia bukan berasal dari keluarga kenamaan yang memiliki pengaruh besar dalam masyarakat Yahudi. Besar harapan mereka bahawa Yesus adalah Mesias yang dinanti- nantikan mereka. Namun Mesias yang mereka fikirkan dan inginkan adalah lebih bersifat politik daripada kerohanian. Tanpa disedari, mereka menolak berita keselamatan dari Allah yang hadir di antara mereka.

Setiap orang percaya juga terpanggil untuk menyaksikan Kristus. Kita dapat mengalami penolakan bahkan dari orang- orang di sekeliling kita. Tetapi jika itu bukan kerana kesalahan kita, tetaplah kuat dan ingatlah bahawa Tuhan sudah terlebih dahulu mengalaminya. Tuhan memberkati!


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Renungan Petang Khamis, 06 Februari 2020 

Renungan Petang Selasa, 15 Oktober 2019

Renungan Pagi Khamis, 06 Disember 2018