Renungan Pagi Selasa, 04 Disember 2018


Renungan Pagi
Selasa, 04 Disember 2018

Jangan Hanya Sekadar Percaya

"Perkataan ini benar dan aku mau supaya engkau dengan yakin menguatkannya, agar mereka yang sudah percaya kepada Allah sungguh-sungguh berusaha melakukan pekerjaan yang baik. Itulah yang baik dan berguna bagi manusia." Titus 3:8

Rujuk : Markus 1:21-28

Sepanjang hidup ini, kita mungkin memiliki orang-orang tertentu untuk dikagumi. Mungkin kerana kebijaksanaannya, kehebatannya, kebaikannya atau sebaliknya. Oleh kerana rasa kagum yang begitu besar, kita ingin mencari peluang untuk mengenalinya lebih dekat atau mungkin mengikut cara kehidupannya. Sesetengah orang mungkin terpengaruhi dari segi gaya dan sikap secara positif mahupun negatif seseorang. Namun, kita harus berhati-hati dengan hal ini.

Kita lihat apa yang berlaku dengan mereka yang ada di Kapernaum. Dalam kisah ini disebutkan bahawa dua kali mereka takjub. Pertama, mereka takjub (terpesona) ketika mendengar pengajaran Yesus yang penuh kuasa, yang tidak seperti para ahli Taurat (22). Kedua, mereka takjub (terkejut atau hairan) rupa-rupanya bukan hanya pengajaran Yesus yang penuh kuasa tetapi juga pelayanan-Nya penuh dengan kuasa sehingga roh jahatpun tunduk kepada-Nya (25-27).

Akan tetapi, ketakjuban mereka hanyalah setakat merasa kagum dan rasa hairan. Apa yang dilihat tidak membuat mereka ingin mengenali Tuhan secara peribadi. Memang mereka memperbincangkan tentang Yesus sampai khabar itu cepat tersebar di seluruh Galilea (28). Namun semua itu hanya setakat perasaan takjub belaka. Tidak disebutkan bahawa di antara mereka ada yang percaya kepada Yesus. Alkitab menyebutkan bahawa roh jahat tahu tentang Yesus (24), bahkan roh-roh itu takut kepada-Nya dan menaati-Nya (27).

Bagaimana dengan kita? Mari kita melihat kepada diri secara jujur, seperti apakah kehidupan yang selama ini kita jalani? Apakah kepercayaan yang terjerumus sekadar takjub, namun sama sekali tidak mahu tahu dan mengenali-Nya lebih dalam? Atau adakah kerohaniannya hanya sekadar kagum dan tidak mahu melakukan kehendak-Nya? Seharusnya kita menjalani kehidupan kita dengan bersungguh-sungguh mengagumi-Nya sebagai Tuhan dan Juruselamat, serta memiliki kehidupan secara peribadi dengan-Nya.

Marilah hidup di dalam Tuhan. Bukan hanya mengagumi-Nya sahaja tetapi juga mengenali dan mentaati firman-Nya. Kiranya Tuhan memberkati!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Renungan Petang Khamis, 06 Februari 2020 

Renungan Petang Selasa, 15 Oktober 2019

Renungan Pagi Khamis, 06 Disember 2018