Renungan Pagi Sabat, 29 Disember 2018



Renungan Pagi
Sabat, 29 Disember 2018

Penyembuhan Secara Berperingkat

Yesus meletakkan lagi tangan-Nya pada mata orang itu, maka orang itu sungguh-sungguh melihat dan telah sembuh, sehingga ia dapat melihat segala sesuatu dengan jelas. Markus 8:25

Rujuk : Markus 8:22-26

Ramai orang memilih proses yang segera untuk mendapatkan segala sesuatu. Ini termasuklah dalam hal penyembuhan. Jika boleh, saat ini juga penyakit kita dapat disembuhkan. Orang yang memberi kesembuhan pula kadang-kadang suka menunjuk-nunjuk dengan kebolehannya dihadapan umum. Dan sudah tentunya ramai dari mereka menginginkan keuntungan yang lebih dari si pesakit. Bagaimana dengan kisah Yesus?

Yesus melalui kawasan Bethsaida. Masyarakat tempat itu hanya ingin melihat mukjizat, namun tidak mahu percaya kepada Yesus. Ada seorang buta dibawa kepada Yesus. Beberapa rakannya berharap dia akan dijamah dan disembuhkan oleh Yesus (22). Tidak ada petunjuk bahawa orang buta itu percaya kepada Yesus dan kuasa-Nya. Oleh itu, Yesus menyembuhkannya secara berperingkat. Maksudnya, penyembuhan tidak diberikan dengan serta merta pada ketika itu.

Hal yang pertama, Yesus membawanya ke luar kampung (23). Kemungkinan di sini untuk mengelak penyebaran berita yang tidak tepat akan pekerjaan- Nya. Lalu, Yesus memasukkan ludah-Nya, mungkin pergerakan tanganNya seakan-akan seperti tangan orang membust silap mata ke atas mata orang itu dan memegangnya. Kali ini dia dapat melihat, namun masih samar-samar (orang yang dilihat masih seperti pohon-pohon) (24).

Orang buta itu pasti terkejut kerana sentuhan peribadi yang Yesus lakukan dan mulai membuahkan hasilnya. Lalu Yesus meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Kali ini dia sudah dapat melihat dengan jelas (25). Kesembuhan berperingkat ini membantu pertumbuhan iman orang buta itu. Bukan hanya fizikalnya disembuhkan tetapi juga kerohaniannya juga diperbaharui. Kemudian Yesus melarangnya masuk ke kampung Bethsaida (26). Mungkin untuk mengelak dari ketidaktepatan berita yang disampikan oleh beberapa orang yang senang dengan mukjizatNya.

Kuasa Tuhan dicurahkan apabila adanya iman dalam diri orang tersebut. Tuhan tidak ingin menunjuk-nunjukkan kuasa penyembuhan-Nya di khlayak umum. Hal ini juga menjadi peringatan bagi setiap kita untuk tidak mempertontonkan mukjizat kesembuhan. Kadang-kadang, respon Tuhan kelihatan "lambat" untuk menjawab pelbagai permohonan doa kita kerana Dia ingin mendewasakan iman kita.

Lembutkanlah hati dan percayalah dengan bersungguh-sungguh agar dapat melihat dan mengalami kuasa Tuhan. Selamat Hari Sabat. Tuhan memberkati!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Renungan Petang Khamis, 06 Februari 2020 

Renungan Petang Selasa, 15 Oktober 2019

Renungan Pagi Khamis, 06 Disember 2018