Renungan Pagi Sabat, 08 Disember 2018
Renungan Pagi
Sabat, 08 Disember 2018
Bersatu Hati Dalam Melayani
"...sehingga dengan satu hati dan satu suara kamu memuliakan Allah dan Bapa Tuhan kita, Yesus Kristus." Roma 15:6
Rujuk : Markus 2:1-12
Proses pelayanan yang tak sistematik ataupun bermasalah bukan kerana pelayanan itu tidak baik. Ini disebabkan oleh ketidakpedulian sesetengah orang di kalangan orang percaya, penting diri sendiri, ada keegoan dan mudah berputus asa apabila adanya cabaran atau masalah.
Kita imbas kembali kisah mengenai empat orang yang membawa rakan mereka yang lumpuh dekat dengan Tuhan. Melalui contoh ini, kita dapat belajar tentang ciri dari pelayan yang memuliakan Tuhan:
Pertama, mereka peduli untuk berbuat sesuatu bagi orang lain (2-3). Ketika tersiar khabar bahawa Yesus datang kembali ke Kapernaum (1), mereka segera membawa rakannya yang lumpuh itu agar Yesus menyembuhkannya. Hal ini memperlihatkan adanya kasih dalam diri mereka untuk melakukan sesuatu yang baik bagi orang lain.
Kedua, mereka bekerjasama (4). Bukan sukar bagi keempat-empat orang itu untuk mengangkat seorang yang lumpuh, namun memerlukan kerjasama yang baik untuk menurunkan si lumpuh itu dari atap ke ruangan di mana Yesus berada.
Ketiga, mereka tidak mempersoalkan siapa yang akan mendapat penghargaan atau nama. Perhatikan bagaimana di sepanjang kisah ini, tidak sekalipun disebutkan nama mereka.
Keempat, mereka tidak mudah berputus asa (4). Hal ini kelihatan dari bagaimana mereka berusaha membuka atap ketika mengetahui bahawa mereka tidak dapat membawanya melalui pintu. Hasilnya, Tuhan melihat iman mereka dan rakan mereka juga disembuhkan secara rohani dan jasmani (5, 12).
Peristiwa ini membuat semua orang takjub dan memuliakan Allah (12). Dalam peristiwa ini ada cabaran dari ahli Taurat yang meragukan kekuasaan Yesus dalam mengampuni dosa. Tetapi Yesus menunjukkan kuasa-Nya dengan mengungkapkan isi hati mereka dan meneruskan proses penyembuhan orang lumpuh itu (6-11).
Seberat apapun cabaran dalam pelayanan yang kita lakukan, jangan mundur. Perhatikan keadaan, bekerjasama, jangan mencari nama dan jangan mudah berputus asa. TUHAN sendiri yang bekerja dengan kuasa-Nya dan memberikan yang lebih baik dari rancangan kita. Tuhan memberkati!

Ulasan
Catat Ulasan