Renungan Pagi Rabu, 12 Disember 2018



Renungan Pagi
Rabu, 12 Disember 2018

Bila Anda Dalam Ketakutan...

Dalam kasih Ia telah menentukan kita dari semula oleh Yesus Kristus untuk menjadi anak-anak-Nya, sesuai dengan kerelaan kehendak-Nya..." Efesus 1:5

Rujuk : Mazmur 54

Daud dicari dan diburu oleh raja Saul. Kemudian dia bersembunyi di tempat orang Zifi, salah satu tempat di Yehuda. Daud memohon penyelamatan kepada Tuhan kerana nama-Nya, bukan untuk kebesarannya sendiri. Nama Tuhan menunjukkan kebesaran-Nya, iaitu kuasa, kebaikan dan kebenaran. Daud memohon keadilan dan pembelaan Tuhan ke atas dirinya berdasarkan keperkasaan Tuhan sendiri. (1-3) Daud memohon kepada Allah untuk mendengar atau memberikan telinga kepada seruannya (4).

Ungkapan yang berulang kali ini menunjukkan keadaannya sangat tergugat, hampir dibunuh oleh mereka yang menyerangnya. Alasannya kerana orang-orang itu tidak memedulikan Allah (5). Dalam keadaan tertekan, Daud memiliki keyakinan bahawa Allah sanggup dan akan menolongnya, menyokongnya supaya tetap teguh berdiri (6). Demi kasih setia Tuhan kepada umat-Nya, Daud memohon penghukuman atas musuh-musuhnya (7).

Dia juga mempersembahkan korban bukan dengan keterpaksaan tetapi dengan kerelaan. Daud bersyukur kerana kebaikan nama Tuhan. Dia mengalami pertolongan-Nya dilepaskan dari segala kesukaran sehingga dia tidak perlu takut memandang musuhnya. (8-9)

Kesukaran yang mengancam kita mungkin berasal dari mana-mana sahaja. Bagaimanapun jua, Tuhan dapat menghulurkan pertolongan. Nama-Nya yang berkuasa dapat menunjukkan kebaikan dan kebenaran bagi sesiapapun yang memohon kepada-Nya. Ketika beriman kepada Allah, orang yang tidak mengenali dan peduli terhadap TUHAN boleh menyerang dan mungkin membunuh kita. Musuh seperti ini akan dikalahkan oleh Tuhan sendiri, kerana mereka adalah musuh-Nya.

Ketika kita masih dapat bertahan menghadapi "serangan" yang bertubi-tubi itu, di sinilah kita dapat membuktikan adanya pertolongan Tuhan.
Dalam kesusahan, tetaplah percaya kepada TUHAN. Persembahkan syukur di atas pertolongan-Nya, walaupun kesukaran masih kita hadapi. Tuhan memberkati!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Renungan Petang Khamis, 06 Februari 2020 

Renungan Petang Selasa, 15 Oktober 2019

Renungan Pagi Khamis, 06 Disember 2018