Renungan Pagi Rabu, 05 Disember 2018



Renungan Pagi
Rabu, 05 Disember 2018

Sang Penyembuh Ajaib

"Mereka datang untuk mendengarkan Dia dan untuk disembuhkan dari penyakit mereka; juga mereka yang dirasuk oleh roh-roh jahat beroleh kesembuhan." Lukas 6:18

Rujuk : Markus 1:29-34

Setiap kita mempunyai masalah yang berbeza-beza. Ada masalah soal nafkah setiap hari, kos pendidikan, komunikasi atau penyakit. Mungkin ada yang merasa lelah dan putus asa kerana mengalami penyakit selama bertahun-tahun dan tidak kunjung sembuh. Dan mungkin juga ada sebahagian orang mempersalahkan Tuhan kerana merasakan tiada respon positif.

Yesus menyembuhkan ramai orang pada suatu ketika dahulu walaupun hari sudah menjelang malam (32-34). Dia menyembuhkan bermacam-macam penyakit dan mengusir banyak setan (34). Namun ada satu kisah kesembuhan yang dicatat dengan cukup terperinci dalam bahagian ini, iaitu ketika Yesus menyembuhkan ibu mertua Simon Petrus yang sakit demam (30). Dengan penuh kuasa, Yesus memegang tangan wanita itu dan lenyaplah demamnya (31).

Tidak diragukan lagi bahawa Yesus berkuasa untuk menyembuhkan sesiapapun sesuai dengan kehendak-Nya. Tiada satu penyakit pun yang tidak dapat disembuhkan oleh Tuhan. Jika Tuhan belum menjawab doa kita atau pun memberikan kesembuhan dari penyakit kita, bukan bermakna Tuhan tidak mempunyai kuasa atau Dia bukan Allah Penyembuh. Allah menyembuhkan kita atau tidak, pasti ada maksud dan tujuan-Nya.

Jika penyakit kita tidak disembuhkan oleh Allah, maka hal itu tidak mengubah fakta bahawa Dia adalah Allah yang sanggup menyembuhkan. Lagi pula bukan hak kita untuk mempersoalkan mengapa Allah memberi kesembuhan atau mengapa tidak. Atau mengapa Allah menyembuhkan si dia dan tidak menyembuhkan saya? Kesembuhan hanya diberikan berdasarkan masa dan kehendak Tuhan.

Apakah Tuhan akan memberikan kesembuhan kepada kita atau tidak? Marilah kita memberi respon positif seperti apa yang terjadi kepada ibu mertua Simon yang bersedia melayani Yesus. Kiranya Tuhan memberkati!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Renungan Petang Khamis, 06 Februari 2020 

Renungan Petang Selasa, 15 Oktober 2019

Renungan Pagi Khamis, 06 Disember 2018