Renungan Pagi Jumaat, 21 Disember 2018



Renungan Pagi
Jumaat, 21 Disember 2018

Tradisi Dan Kerohanian

Yesus berkata pula kepada mereka: "Sungguh pandai kamu mengesampingkan perintah Allah, supaya kamu dapat memelihara adat istiadatmu sendiri. Markus 7:9

Rujuk : Markus 7:1-23

Orang-orang Yahudi sangat meninggikan tradisi. Tradisi ini mereka campuradukkan dengan kerohanian. Mereka sudah tidak dapat membezakan yang mana lebih berkuasa. Ketika melihat para murid Yesus tidak mencuci tangan sebelum makan, mereka menganggap hal itu najis. Hal ini berbeza dengan kebiasaan mereka yang selalu melakukan pembersihan secara lahiriah. Sebenarnya, ada motif tersirat disebalik kedatangan mereka dari Yerusalem ke tempat Yesus. Mereka datang untuk mencari kesalahan Yesus (1-5).

Oleh itu, Yesus dengan tegas menegur mereka. Demi kemunafikan, mereka rela mengabaikan perintah Allah (6-8). Selain itu, orang Yahudi juga mengabaikan penjagaan terhadap orangtua. Mereka berfikir kalau sudah mempersembahkan korban kepada Allah, maka tidak perlu memerhatikan orangtuanya (9-13). Mereka menggantikan kemurnian moral dengan hal-hal seremonial. Yesus menjelaskan bahawa makanan yang masuk dari luar tidak mencemari hati. Kenajisan sesungguhnya terdapat di hati yang dikeluarkan melalui perkataan dan tindakan jahat (14-23).

Tuhan tahu kejahatan yang ada dalam hati seseorang, walaupun ditutupi dengan sikap atau perkataan baik. Seseorang kelihatan benar dari luar tetapi hatinya belum tentu mengasihi Allah. Tradisi dan adat istiadat bukan salah secara keseluruhannya. Tetapi kebenaran TUHAN jauh melebihi tradisi dan adat istiadat manusia. Adat istiadat dan tradisi seharusnya didasarkan pada Firman Allah. Allah ingin hati kita mendekat kepada-Nya. Dengan demikian, hati kita akan terisi dengan hal-hal yang mengutamakan Tuhan.

Tuhan harus lebih dihormati dan ditaati melebihi semua aturan duniawi. Utamakan Tuhan, taati perintah-Nya, dan jalin persekutuan yang erat dengan-Nya. Tuhan memberkati!


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Renungan Petang Khamis, 06 Februari 2020 

Renungan Petang Selasa, 15 Oktober 2019

Renungan Pagi Khamis, 06 Disember 2018