Renungan Pagi Jumaat, 14 Disember 2018
Renungan Pagi
Jumaat, 14 Disember 2018
Disakiti Orang Terdekat
Kalau musuhku yang mencela aku, aku masih dapat menanggungnya; kalau pembenciku yang membesarkan diri terhadap aku, aku masih dapat menyembunyikan diri terhadap dia. Tetapi engkau orang yang dekat dengan aku, temanku dan orang kepercayaanku..." Mazmur 55:12-13
Rujuk : Mazmur 55
Ketika kita disakiti oleh orang lain, hal itu tidak begitu menyakitkan dan mudah dilupai. Tetapi berbeza pula apabila ada orang terdekat, kawan rapat, kekasih, mahupun keluarga sendiri yang menyakiti. Kita tidak tahu berapa lama kita dapat bertahan. Kita lihat bagaimana Daud dalam menyelesaikan masalah dengan orang-orang terdekatnya di dalam kisah Daud ini.
Daud merasa sangat sedih, gelisah, dan menangis kerana dirinya takut dan gentar (3, 5-6). Hal ini disebabkan oleh pengkhianatan orang- orang terdekatnya (13-15), iaitu Ahitofel, penasihatnya, dan anak kesayangannya, Absalom (2 Sam. 15-17). Ahitofel memberi pelbagai petunjuk dan cadangan yang tepat dalam kejayaan Absalom melakukan perebutan kuasa terhadap ayahnya. Dalam keadaan seperti ini, Daud menaikkan permohonan kepada Tuhan dengan bersungguh-sungguh (1-3).
Rasanya, Daud ingin melarikan diri dan pergi jauh dari situasi yang dialaminya dengan mencari tempat perlindungan, bahkan ke padang gurun untuk menjauhi masalahnya (7-9). Tetapi dia tidak dapat berbuat demikian mahupun menyalahkan Tuhan. Daud tetap mempercayai kesetiaan Tuhan. Daud bersedih dan menangis sepanjang hari. Dia yakin bahawa Tuhan akan menolong dan menyelamatkannya (17-20).
Dia memaklumkan segala tindakan kelicikan mereka yang menimbulkan kehancuran (10b-12, 21-22), dan memohon Tuhan mengacaukan serta menghukum mereka (10a, 16, 24). Dalam keadaan hati yang berduka, Daud mengajak umat Tuhan untuk menyerahkan segala kekhuatiran kepada-Nya dan mempercayai Tuhan (23-24).
Ketika kita disakiti dan dikecewakan oleh orang terdekat atau sesiapapun, segeralah berseru kepada-Nya. Tuhan tahu situasi yang menimpa kita. Dia memahami perasaan sakit dan penderitaan yang kita alami. Satu hal yang diinginkan-Nya, iaitu tetap setia dan bertahan di hadapan-Nya, maka Dia akan memelihara dan tidak membiarkan kita goyah. Sebab, Tuhan sanggup merendahkan mereka yang menyerang kita tanpa alasan. Pembebasan dari Tuhan membuat kita aman dari serangan musuh. Berserahlah kepada-Nya.
Janganlah terus berada dalam kesedihan, serahkanlah semua kebimbangan kepada Tuhan. Dia akan memelihara dan memberikan keselamatan. Tuhan memberkati!

Ulasan
Catat Ulasan