Renungan Pagi Jumaat, 07 Disember 2018



Renungan Pagi
Jumaat, 07 Disember 2018

"Jika Engkau Mau..."

Seorang yang sakit kusta datang kepada Yesus, dan sambil berlutut di hadapan-Nya ia memohon bantuan-Nya, katanya: "Kalau Engkau mau, Engkau dapat mentahirkan aku." Markus 1:40

Rujuk : Markus 1:40-45

Sejak akhir-akhir ini muncul fenomena doa seperti "menagih" janji kepada Tuhan. Doa seperti ini seakan-akan "memaksa" Tuhan menurut kehendak kita. Yang lebih menyedihkan lagi, ada begitu ramai sekali orang percaya melakukan hal ini. Tetapi tidak pula dengan orang mengalami penyakit kusta yang diceritakan di dalam renungan pagi pada hari ini.

Pada zaman itu, kusta adalah sejenis penyakit yang belum ada ubatnya dan melambangkan dosa serta kenajisan. Oleh itu, orang kusta harus dijauhkan dari masyarakat. Jika seseorang berjumpa dengan pesakit kusta, dia menjauhinya dan berteriak "najis, najis." Menyedari akan penyakit yang dihidapinya, orang kusta itu datang dan berlutut di hadapan Yesus memohon agar disembuhkan. Dia tahu Yesus dapat menyembuhkannya. Tetapi pertanyaannya, apakah Yesus mahu? Bukankah orang kusta ini adalah orang yang dijauhkan dari masyarakat? Bukankah dia menghidap penyakit yang dianggap najis oleh orang di sekitarnya?

Dalam permintaannya kepada Yesus, orang kusta ini tidak bertanya, "Jika Engkau boleh...", melainkan "Jika Engkau mahu..." (40). Maksudnya, dia tidak meragukan kuasa Tuhan untuk menyembuhkannya, tetapi dia juga tidak memaksa Tuhan. Dia cukup tahu diri dengan keberadaannya di sana. Tanpa diduga, rupa-rupanya Yesus memberi respon dengan begitu indah sekali. Dengan belas kasihan-Nya, Yesus menjamah orang kusta itu dan menyembuhkannya (41-42).

Yesus meminta orang itu tidak memberitahukan kesembuhannya kepada siapapun. Dia menyuruhnya pergi kepada imam untuk memperolehi pernyataan rasmi atas kesembuhannya dan memberikan persembahan (43-44). Kerana tidak dapat menahan diri akan berita baik itu, orang kusta itu menyebarkan berita kesembuhannya oleh Yesus (45).

Dalam permohonan dan doa yang kita panjatkan, sesungguhnya kita tidak perlu "memaksa" Tuhan. Dia tahu segala yang kita perlukan. Tuhan juga tahu bila Dia memenuhinya. Berserahlah kepada kekuasaan-Nya dan katakan, "Jika Engkau mahu, ya Tuhan...". Kiranya Tuhan memberkati anda!



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Renungan Petang Khamis, 06 Februari 2020 

Renungan Petang Selasa, 15 Oktober 2019

Renungan Pagi Khamis, 06 Disember 2018