Renungan Pagi Isnin, 03 Disember 2018



Renungan Pagi
Isnin, 03 Disember 2018

Menjadi Penjala Manusia

Yesus berkata kepada mereka: "Mari, ikutlah Aku, dan kamu akan Kujadikan penjala manusia." Matius 4:19

Rujuk : Markus 1:16-20

Sekiranya kita mencari pekerja, orang yang bagaimana yang akan anda pilih? Biasanya kita memilih mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan yang setaraf, memiliki kualiti diri dan kemampuan untuk bekerja dan sebagainya. Pendek kata, orang yang mampu bekerja secara profesional dan mempunyai pengalaman.

Dalam kisah hari ini, ketika Yesus memanggil murid yang pertama. Dia memanggil mereka dari latar belakang yang sederhana. Dia tidak memanggil mereka yang terkenal dan hebat. Bukan pula dari kalangan pemimpin-pemimpin agama atau tokoh masyarakat. Murid pertama-Nya hanyalah penjala ikan (16), yang kehidupannya agak sederhana. Mereka bukan orang terkenal dan bukan pula orang yang memiliki latar belakang pendidikan dan ekonomi yang tinggi. Mereka hanyalah seorang nelayan yang menjala ikan.

Ketika Yesus memanggil mereka mengikut-Nya, Dia memberikan pekerjaan baru bagi mereka. Yang sebelumnya hanya penjala ikan, kini mereka menjadi penjala manusia. Yang sebelumnya mencari ikan untuk keperluan hidup semata-mata, tetapi kini mencari manusia demi Kerajaan Allah.

Sebagai pengikut Kristus, kita perlu mengetahui bahawa bagi Tuhan yang terpenting bukan soal apa pekerjaan atau perbuatan kita di masa lalu. Tuhan menghendaki agar setelah diperbaharui, kita melayani-Nya sesuai dengan kehendak-Nya. Tidak perlu memperhitungkan apa yang telah kita tinggalkan (18, 20), melainkan dengan kesungguhan hati mengikuti TUHAN Yesus yang telah menyelamatkan dan memanggil kita.

Bila kita bersungguh-sungguh mahu mengikut Dia, maka hidup kita akan diubahkan dan diperlengkapi sehingga ramai orang dapat menyaksikan Kristus melalui kehidupan kita dan memuliakan nama-Nya. Tuhan memberkati!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Renungan Petang Khamis, 06 Februari 2020 

Renungan Petang Selasa, 15 Oktober 2019

Renungan Pagi Khamis, 06 Disember 2018