Renungan Pagi Ahad, 30 Disember 2018



Renungan Pagi
Ahad, 30 Disember 2018

Apabila Manusia Cuba Menentang Tuhan

Apabila seorang mengucapkan sesuatu menentang Anak Manusia, ia akan diampuni, tetapi jika ia menentang Roh Kudus, ia tidak akan diampuni, di dunia ini tidak, dan di dunia yang akan datang pun tidak. Matius 12:32

Rujukan : Markus 11:27-33

Berkali-kali para ahli tertinggi agama Yahudi ingin menjerumuskan dan menjatuhkan kewibaan Yesus. Namun semuanya itu dapat dipatahkan oleh Yesus dengan hikmat Allah. Lihatlah di muka bumi ini, sebahagian manusia ingin menentang Tuhan dengan cara yang sangat halus sehingga sesama manusia hampir-hampir tidak mampu melihatnya sebagai satu penentangan akan kebenaran Tuhan.

Debat kali ini di antara para ahli agama Yahudi dengan Yesus mengenai soal kuasa. Perdebatan mereka dilakukan di muka umum, bertempat di halaman Bait Allah (27). Tempat itu mereka guna untuk menjatuhkan atau menjerumuskan Yesus dan para saksinya, iaitu orang-orang awam yang ada di sekitar Bait Allah.

Tanpa membuangkan masa, pertanyaan mereka tertumpu kepada tujuan sebenar, iaitu siapa yang memberi Yesus kuasa untuk mengajar di tempat ibadah dan mengadakan mukjizat (28). Kelihatannya mereka ingin mencari maklumat siapakah kekuatan intelektual yang ada di sebalik Yesus. Selain itu, mereka juga ingin membuat Yesus terlibat dalam penghujatan kepada Allah. Sebab sudah beberapa kali Yesus menyamakan diri-Nya dengan Allah.

Umpan dari para ahli agama Yahudi tidak mengenai sasaran. Bukannya menjawab, malahan Yesus mengajukan pertanyaan kepada mereka (29-30). Di sini kita lihat bahawa Yesus menggunakan hikmat Allah sebagai dasar untuk berfikir dan berkata-kata. Sedangkan para ahli agama Yahudi hanya menggunakan muslihat untuk kepentingan peribadi. Dengan hikmat Allah, pertanyaan dari Yesus membuat mereka terdiam tak terkata. Kerana mereka lebih takut kepada manusia daripada kebenaran Allah (31-32).

Melalui sebuah perbincangan bersama, mereka mengatakan tidak tahu asal usul baptisan Yohanes (33). Dengan jawaban ini mereka berfikir bahawa Yesus akan menerangkan kepada mereka. Yesus sama sekali tidak mahu menjawab dengan siapakah diri-Nya melakukan semuanya itu. Yesus sengaja melakukan hal itu kerana kebenaran sejati tidak diperuntukan kepada mereka yang tidak tulus hati.

Kebenaran sejati tidak memerlukan perbincangan atau pendapat manusia kerana kebenaran itu milik Allah. Untuk itu, kita perlu berhati-hati dalam memakai akal fikiran kita untuk memahami kebenaran Allah dan bukan memanipulasinya demi kepentingan diri. Tuhan memberkati!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Renungan Petang Khamis, 06 Februari 2020 

Renungan Petang Selasa, 15 Oktober 2019

Renungan Pagi Khamis, 06 Disember 2018