Renungan Pagi Ahad, 09 Disember 2018



Renungan Pagi
Ahad, 09 Disember 2018

Tidak Ada Allah Dalam Hatimu?

"Orang bijak berhati-hati dan menjauhi kejahatan, tetapi orang bebal melampiaskan nafsunya dan merasa aman." Amsal 14:16

Rujuk : Mazmur 53

Ateisme adalah golongan mereka yang tidak mempercayai dan menolak kehadiran Tuhan. Orang kini mengenali seorang penulis Perancis abad ke-18, bernama Baron d’Holbach sebagai salah seorang yang pertama menyebut dirinya sebagai ateis. Rupa-rupanya, ateisme sudah ada sejak lama dahulu, setidak-tidaknya sudah ada pada zaman Daud lagi. Ini dapat kita lihat dalam ayat 1 (2) renungan pada hari ini, di mana orang bebal berkata dalam hatinya "Tidak ada Allah."

Daud menggambarkan orang bebal sebagai orang yang tidak mempercayai adanya Tuhan, tidak berakal budi dalam pandangan TUHAN, dan tidak mencari Allah (1-3). Oleh kerana tidak percaya adanya Tuhan, orang bebal hidup berbuat curang (2), tidak peduli dengan kebaikan (2, 4),  rosak akhlak (4), dan melakukan kejahatan (5). Intinya, orang bebal hidup tanpa takut akan Tuhan dan semakin terjerumus ke dalam kehancuran.

Kepada orang-orang yang demikian, dikatakan bahwa kehidupan mereka akan ditimpa kecelakaan secara tiba-tiba, dikepung dan dipermalukan, dan yang lebih mengerikan lagi adalah mereka ditolak oleh Allah (6). Melihat kepada kehidupan orang bebal dan kehidupan orang saleh yang diwakili oleh umat Israel sebagai umat pilihan Allah mengalami hal yang jauh berbeza. Tuhan memberi jaminan bahawa umat-Nya akan diselamatkan dan dipulihkan oleh Tuhan sehingga mereka akan mengalami sukacita dari Allah (7).

Sebagai umat Allah, sungguh mazmur ini sangat menghiburkan dan menguatkan kita. Saat ini, mungkin kita mengalami tekanan dan permasalahan kerana kejahatan dari orang-orang di sekeliling kita yang tidak mengenal Tuhan. Atau mungkin kita dijauhkan kerana melakukan apa yang benar. Jangan khuatir dan bimbang, walaupun ramai orang menolak dan membenci kita, selama kita di dalam Tuhan, penerimaan dari Tuhan itu cukup bagi kita.

Akan tiba waktunya di mana Tuhan akan menyelamatkan dan memulihkan hidup kita. Oleh itu, tetap lakukan apa yang benar dihadapan Tuhan dan jangan menyerah kalah. Kiranya, Tuhan memberkati!


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Renungan Petang Khamis, 06 Februari 2020 

Renungan Petang Selasa, 15 Oktober 2019

Renungan Pagi Khamis, 06 Disember 2018